Mari Bersantai Dengan Blogging
27 Oct
Lama dah tak update blog ni. Adalah dalam 3 hari agaknya. Banyak menghabiskan masa bersama keluarga dalam beberapa hari ni. Minggu lepas saya dah mendaftar untuk menyertai Penang Bridge Marathon untuk tahun ni. Saya tak mendaftar untuk Full Marathon. Hanya mendaftar untuk Half Marathon.
Half Marathon pun sejauh 22 km. Sebelum ni saya pernah lari paling jauh pun 15 km. Itu pun terbaring satu hari lepas habis lari. Jadi untuk persediaan kali ni saya banyak bertumpu kepada latihan mental berbanding latihan stamina. Kalau ada coach saya ingat training sampai muntah-muntah rasanya.
Oleh kerana di Perlis ni saya tak ada coach, saya banyak motivate diri sendiri masa berlari. Dulu masa ada coach manja sikit. Sakit sikit report kat coach. Masa tak ada coach ni lebih berdikari. Sakit tak sakit pun lari juga. Kuatkan semangat untuk keluar dan berlari. Lama dah saya tinggalkan aktiviti berlari ni.
Hari pertama nak start training rasa macam berat sangat badan ni. Tapi pergi juga lari 15 minit. Itu pun dah tercungap-cungap. Nampak sangat dah tak fit dah. Petang pada hari yang sama saya teruskan juga berlari selama 15 minit walaupun kaki sakit dah sebab muscle shock. Dari segi pernafasan mungkin lebih baik dari pagi tu.
Cuma muscle pada kaki je yang sakit. Hari kedua saya bangun awal pagi lagi dan terus juga berlari. Walaupun mengantuk dan juga sakit kaki. Saya rasa pernafasan saya makin lancar masa berlari. Tengahari tu saya dah jalan kengkang dah macam orang baru bersalin.
Duduk sakit, berdiri sakit, buat apa pun sakit. Dalam hati menanggung sakit dengan penuh kesabaran. Oleh kerana ada urusan selama 2 hari lepas tu, saya tak dapat keluar berlari. Tapi lepas 2 hari tu saya cuba lari balik. Kali ni kaki dah tak sakit, nafas pun dah OK. Maksudnya condition badan saya mungkin dah boleh pergi ke next stage.
Petang tadi saya baru melakukan larian selama hampir 30 minit. Condition badan masih OK. Sempat main sepak raga lagi balik joging tadi. Bila dah sampai stage macam ni, saya nak tumpukan pula pada ketahanan mental saya. Bukan berapa laju saya lari yang saya pentingkan tapi berapa lama saya boleh berlari.
Sebab saya tak pernah lagi berlari sejauh 22 km. Kalau ikutkan keadaan saya sekarang mungkin ianya mengambil masa lebih dari satu jam. Jadi saya kena prepare mental untuk bertahan selama satu jam larian sekurang-kurangnya. Sepatutnya kena lebih tapi saya kurangkan sebab saya masuk marathon ni bukan nak menang. Tapi nak tahu adakah saya boleh buat larian tanpa henti sejauh 22 km.
Cara saya berlatih simple je. Saya cuba cari track yang agak berlainan setiap kali lari bagi mengelakkan bosan ketika berlari. Dekat Perlis ni best track larian dia. Saya boleh berlari tepi sawah sambil-sambil tengok orang memancing. Ianya satu pemandangan yang saya rasa seronok.
Kalau ada kawan-kawan yang masuk marathon ni bolehlah kita jumpa masa larian tu nanti. Boleh kita lari sama-sama.
24 Oct
Baru-baru ni saya keluar dengan kawan saya. Beliau seorang engineer loji. Sekarang dah naik pangkat kot ke manager. Saya tak pasti. Nanti saya tanya balik. Kami keluar minum kopi sambil sembang-sembang. Tengah sembang-sembang tiba-tiba dia tanya satu soalan.
Soalan yang dia tanya adalah berkaitan water filter yang banyak dijual sekarang ni. Saya tak rakamkan perbualan tersebut jadi saya tulis je lah apa yang saya ingat. Mungkin ada sikit kekurangan dalam penulisan semula tapi saya cuba sedaya upaya untuk tidak menyongsangkan maksud sebenar.
Beliau hairan kenapa banyak orang(penjuallah biasanya) mengatakan air dari water filter mereka beralkali. Dia yang kerja dekat loji hari-hari memang jaga bab pH ni. Dan pH air yang kami kawal adalah mengikut standard dari WHO(World Healh Organization).
Jadi dia mengatakan sekiranya penjual water filter ni mengatakan air beralkali mereka lagi bagus untuk kesihatan, maknanya kenyataan dia telah menidakkan standard WHO. Di mana WHO telah menetapkan air yang patut dibekalkan kepada seluruh dunia mempunyai pH dari 6.5 sehingga 8.0(kalau salah tolong betulkan, tapi saya rasa betul).
Kata beliau lagi sekiranya pH air tu menjadi kekuatan sebuah water filter, baik dia letak tawas je kat loji tu. Tawas menambah sifat alkali air. Jadi beliau berpendapat sepatutnya mereka ni lebih menyatakan “Kenapa air tersebut beralkali?”. Beliau sangat ingin tahu mengenai kealkalian air ni.
Jadi saya pun layan sembang sebab saya memang ada buat research sikit pasal air. Saya ada menceritakan beberapa hasil research yang saya jumpa. Fenomena air beralkali kebanyakannya berpunca dari air zamzam(bukan semua). Air zamzam mempunyai sifat alkali yang tinggi.
Sampai ada pengeluar water filter yang mengatakan air mereka hampir menandingi air zamzam(saya pernah baca tapi tak ingat di mana). Ada juga yang mengatakan rasa air dari water filter mereka macam air zamzam(saya pernah rasa, ada rasa macam air zamzam sikit-sikit).
Dari segi alkali dan rasa, mungkin mereka hampir dapat menyamai air zamzam. Tapi bagaimana pula dengan kualitinya? Apakah mereka dapat menandingi air yang terkandung dalam air zamzam? Saya rasa macam langit dan bumi. Saya akan tunjukkan hasil research saya.
Saya dah banyak buat research terhadap water filter yang ada kat Malaysia ni. Luar negara belum lagi. Hampir semua water filter di Malaysia menyingkirkan klorin daripada air paip. Jadi saya nak ketepikan isu klorin dulu. Saya akan terus kepada keputusan research saya.
Saya cuma ada satu alat untuk uji air iaitu TDS(Total Dissolved Solid) meter. Tapi dengan satu alat ni saya banyak buat kajian. Sebab ia memberikan nilai keterlarutan pepejal/logam/mineral dalam air. Tapi ia tidak memberitahu mineral apa yang terdapat dalam air tersebut.
Inilah TDS Meter yang saya gunakan
Hipotesis saya mengatakan nilai keterlarutan dalam air mempengaruhi nilai pH air. Kerana nilai yang ditunjukkan oleh TDS meter ni adalah nilai pepejal/logam/mineral terlarut. Daripada ilmu kimia yang saya pelajari, setiap logam/mineral mempunyai sifat alkali. Sifat alkalinya bergantung kepada jenis logam.

jadual berkala
Dalam jadual berkala di atas, kumpulan no. 1 dan no. 2 dipanggil logam alkali dan logam alkali bumi. Perkataan logam dan alkali memang tak dapat dipisahkan. Bila sebut logam, semestinya ia bersifat alkali. Jika nak mempersoalkan mineral, saya bagi contoh kalsium. Kalsium(Ca) terletak pada kumpulan 2 jadual berkala yang juga dipanggil logam alkali bumi. Siapa tak faham kena telefon cikgu kimia balik.
Melalui TDS Meter ni kita lihat dulu nilai yang ditunjukkan oleh air zamzam yang saya ada sekarang(baru je test tadi).
Nilai TDS Air Zamzam
Mengikut bacaan TDS air zamzam, mineral/logam terlarut adalah tinggi. Bacaan menunjukkan nilai 67. Mari kita tengok pula bacaan TDS untuk air paip dari rumah saya di Kangar(baru test tadi gak).
Nilai TDS Air Paip Rumah Saya di Kangar
TDS Meter menunjukkan bacaan 10 untuk bacaan air paip di rumah saya. Sebenarnya bacaan ini paling tinggi berbanding negeri-negeri lain yang saya pernah test(untuk kes air paip). Bacaan ini menunjukkan mineral/logam terlarut dalam air paip rumah saya yang tinggi dan ianya bukanlah satu berita baik.
Mengikut kata kawan saya yang bekerja sebagai engineer di loji rawatan air, air di loji tidak mempunyai nilai TDS yang tinggi(mungkin nilainya 1 atau 2 saja). Masalah logam terlarut ni adalah disebabkan paip yang membawa air dari loji ke rumah-rumah. Saya difahamkan paip-paip ini bukanlah jenis stainless steel.
Maksudnya paip-paip ini boleh berkarat dan sudah lama paip-paip ini tidak ditukar. Jadi mineral terlarut dalam air tadi kemungkinan besar adalah karat. Jadi jika anda sudah ada water filter di rumah, cuba periksa nilai TDS air paip anda kemudian periksa TDS air yang keluar dari water filter anda. Berapakah bacaannya?
Jika anda berminat nak dapatkan TDS Meter tu dari saya, tinggalkan komen mengatakan anda berminat untuk dapatkan TDS meter. Saya akan contact anda melalui email. Anda pun boleh komen tentang hasil research saya ni.
Saya ada tawaran untuk pembaca blog saya. Sekiranya saya tunjukkan kepada anda water filter yang boleh menapis segala logam/mineral terlarut dalam air dan mempunyai nilai TDS ‘zero’ atau 0, adakah anda berminat mendapatkannya dari saya? Dan tawaran menjana pendapatan sampingan melalui water filter ini juga digalakkan. Berikan komen anda.
21 Oct
Post kali ni mungkin akan menjadi sedikit kontroversi kepada penggiat MLM tanah air. Tapi saya bukannya nak perlekeh orang-orang MLM. Cuma di sini saya nak utarakan pendapat saya mengenai MLM. Idea untuk menulis post ini setelah saya memberikan komen di Rohaizad.com mengenai artikel beliau yang berkaitan dengan MLM.
Saya telah ditanya oleh seorang sahabat. Sahabat saya ni saya tak berapa kenal secara nyata. Kami berkenalan secara maya saja iaitu melalui yahoo messenger. Mula berkenalan dengan beliau semasa beliau ingin membeli VCC dari saya. Sejak itu kami selalu gak bersembang di YM.
Dia berkata dia telah bertanya pada seorang ustaz tentang hukum MLM. Maka ustaz tersebut menjawab haram. Jelasnya kerana ada hadis nabi yang mengatakan jika terdapat lebih daripada 2 akad dalam satu urusan jual beli, maka ianya haram(lebih kurang macam ni lah maksudnya).
Jadi sahabat saya memberikan contoh beliau ada sebidang tanah untuk dijual. Dia mengupah seorang ejen untuk menjual tanah beliau. Jika ejen itu mengupah seorang ejen yang lain untuk menjual tanah tersebut, urusan jual beli itu tidak sah dan ianya haram.
Jadi saya mengeluarkan contoh saya pula. Katakan saya ni seorang nelayan. Setelah mendarat di pantai, saya mencari pemborong untuk menjual ikan-ikan saya. Dan pemborong pula pasti akan mencari penjual untuk menjual di pasar atau di kedai-kedai.
Pemborong tidak mungkin menjual kepada penjual sama seperti harga yang dibeli dari nelayan tadi. Sudah pasti pemborong akan rugi sekiranya dijual pada harga beli. Penjual juga tak mungkin menjual kepada pembeli sama harga seperti mereka beli pada harga borong.
Jadi di sini juga terdapat 2 akad. Yang pertama sekali ialah antara nelayan dan pemborong. Yang kedua ialah antara pemborong dan penjual dengan ikan yang sama. Adakah ianya haram? Saya tak pandai jawab tapi ini adalah persoalan saya. Mungkin anda boleh menjawab.
Saya akan kupas sedikit tentang MLM atau Multi Level Marketing mengikut pemahaman saya. MLM adalah satu konsep marketing atau pemasaran. Jadi kita harus faham ianya bukanlah program buat duit. Tapi oleh kerana telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu, ianya seakan-akan skim cepat kaya.
MLM adalah salah satu konsep pemasaran yang termurah masa kini dan ianya juga berkesan dalam menghasilkan jualan. Kenapa saya kata begitu? Kerana melalui MLM setiap ahli diberikan peluang untuk menjual produk syarikat dan komisen akan diberikan setiap kali jualan dibuat.
Dengan peluang ini sudah pastilah setiap ahli akan berusaha untuk mendapatkan pendapatan melaluinya. Jika kita lihat pada syarikat yang tidak menjalankan konsep MLM, mereka mempunyai pegawai pemasaran masing-masing. Pegawai pemasaran ini bertindak untuk memasarkan produk syarikat dengan harapan akan ada pembeli nanti.
Pegawai pemasaran ini telah digaji dan setiap perbelanjaan pemasaran adalah ditanggung oleh pihak syarikat. Pegawai pemasaran tersebut tidak mengeluarkan duit poketnya pun untuk pemasaran malah ianya menggunakan duit syarikat. Mungkin jika jualan terhasil pegawai tersebut juga menerima komisen(bergantung kepada perjanjian antara pihak syarikat dan juga pegawai tersebut).
Bukankah perkara ini akan merugikan syarikat? Kita lihat kembali perbelanjaan syarikat:
1) menggaji pegawai pemasaran dan pekerjanya
2) kos pemasaran atau pengiklanan
3) komisen diberikan kepada pegawai pemasaran yang berjaya hasilkan jualan(sekiranya ada)
Jika kita lihat dari sudut MLM pula. Setiap ahli perlu melakukan pemasaran untuk menjana pendapatan dan kos pemasaran semua ditanggung oleh ahli tersebut. Malah ahli tersebut tidak digaji pun malah kena keluarkan belanja untuk beli produk lagi untuk melayakkan mereka menerima komisen.
Jadi bezakan dengan syarikat yang mempunyai pegawai pemasaran tadi dengan konsep MLM.
1) ahli yang melakukan pemasaran tidak digaji
2) kos pemasaran atau pengiklanan ditanggung oleh ahli
3) komisen diberikan kepada ahli yang berjaya melakukan jualan(sama ada guna sendiri atau menjual kepada orang lain)
Bayangkan sekiranya syarikat yang berkonsepkan MLM mempunyai 1000 orang ahli. Pastinya lebih banyak produk terjual berbanding 10 orang staf yang melakukan pemasaran tanpa konsep MLM. Konsep MLM ini juga menjamin produk dijual secara berterusan tanpa melakukan pemasaran semula.
Terus terang saya katakan membenci MLM yang mementingkan buat duit lebih daripada kelebihan produk mereka. Kerana saya percaya rezeki itu hak Allah dan Dialah yang memberi rezeki kepada kita. Saya menyertai MLM kerana produk. Jika produk bermanfaat kepada saya sudah pastinya ianya bermanfaat kepada bakal downline atau downline saya nanti.
Banyak lagi yang saya boleh ceritakan mengenai MLM ni. Kerana saya sudah menyertai banyak MLM sebelum ini dan saya rasa saya faham selok belok perniagaan MLM ni. Cuma saya tak pandai nak buat duit melaluinya walaupun saya faham selok beloknya. Hahaha…(ketawakan diri sendiri).
Banyak juga MLM yang telah saya lepaskan kerana tiada manfaat pada produk mereka dan saya takut akan menganiaya downline-downline saya nanti. Berikan komen anda yang bernas mengenai MLM ini.

20 Oct
Saya dulu rasa macam susah sangat nak dapat nama domain dot com sendiri. Bila dah start beli produk SmartZul untuk bina blog, saya beli nama domain fazbiz.com. Nak beli nama domain ni kena ada hosting. Hosting ni macam tapak perniagaan kita atau kedai dan nama domain tu macam nama kedai.
Hosting yang pertama saya gunakan adalah NetKL. Tak silap saya ada 2 nama domain saya yang saya letakkan di bawah hosting NetKL ni. 2 nama domain tersebut adalah

1) Fazbiz.com(setakat ni hanya digunakan untuk blog perniagaan)
2) FazliBuatApa.com(digunakan untuk blog suka-suka)
Hosting yang kedua saya pernah gunakan adalah Rawanaz Studio. Ada banyak domain saya letakkan bawah hosting Rawanaz. Antaranya:

1) improductsguides.com(khas untuk produk Clickbank)
2) Senarai1k.com(panduan pemasangan autoresponder percuma)
3) TeknikBinaBlog.com(teknik membina blog dot com sendiri)

4) FazPrepaidTeam.net(domain ni khas untuk autoresponder saya)

Ada lagi satu iaitu GoDaddy. Ini adalah hosting dari luar negara. Ada satu saja domain yang diletakkan bawah GoDaddy iaitu:
1)FazWayForex.com(satu lagi laman web khas untuk produk Clickbank)
Hari ni saya tambah lagi satu daripada Global Domain International atau GDI. Nama domain tersebut adalah:
1) FazBiz.ws(khas untuk bisnes internet saja)

Rasa macam banyak. Tapi kalau kenal usahawan internet yang lain, diorang lagi banyak. Kalau ada nak komen share berapa nama domain yang korang ada pun boleh gak. Bagi meriah sikit blog ni.
19 Oct
Banyak perkara juga berlaku sepanjang berada di Penang sampailah balik ke Perlis semalam. Antaranya:
1) Tidur di rumah Mama Bedah
2) Breakfast tepi pantai dengan Peja dan family
3) Dapat baucer Giant RM500
1) Tidur di rumah Mama Bedah
Terima kasih diucapkan kepada Mama Bedah kerana menumpangkan saya dan keluarga bermalam di rumah beliau. Rancangnya datang ke Penang ni nak membantu abang ipar saya angkat barang sebab dia nak pindah rumah. Oleh kerana rumah yang baru ni dalam keadaan kelam-kabut(biasalah baru pindah), kami pun decide untuk tidur rumah Mama Bedah.
Sebenarnya memang nak tidur rumah Mama Bedah lama dah. Jadi alasan kali ni amat sesuai untuk digunakan untuk tidur rumah Mama. Mama Bedah ni nama panggilan yang memang popular di kalangan saya dan kawan-kawan. Umurnya dah ….(rahsia, tanya Mama sendiri) tapi semangat macam orang muda. Hehehe… Iklan sikit.
Kami sekeluarga borak sampai 3.30 pagi. Tapi sebab Mama dah janji dengan kawan nak pergi qiamullail, terpaksa stop juga.
2) Breakfast tepi pantai dengan Peja dan family
Malam tidur lewat, pagi tu mulalah liat nak bangun tidur. Tapi sebab dah janji dengan Peja nak pergi breakfast kat tepi pantai. Bangun juga. Mungkin idea Peja kali ni saya tak pernah buat, jadi seronok juga bila dia beritahu nak breakfast tepi pantai. Mama Bedah pun join sekali walaupun mata tu agak berat selepas ber’qiamullail. Mama ROCK lah katakan(kalau Mama baca ni dia marah tak?). Hehehe..
Ramai juga yang terlibat dalam aktiviti breakfast tepi pantai ni. Saya, Aznor, Faiq, Peja, Baya, Aqil(anak Peja), Mama Bedah dan mak mertua Peja(atau mak Baya). Seronok juga ada 2 family berkelah. Bila dah lama tak jumpa, macam-macam nak cerita. Baya pun sarat mengandung, tak lama lagidapatlah baby no. 2 tu.
Dalam Gambar : Mama Bedah(bertudung hitam), Aqil(tak puas hati dengan cameraman kot), mak mertua Peja atau mak Baya(wanita bertudung biru), kaki Aznor sebelah kiri
Selepas berkelah ni kami pergi rumah abang Aznor untuk tengok-tengok apa yang boleh ditolong. Tak ada tolong apa sangat sampai sana. Makan dan tidur saja sambil biar Faiq main dengan atuknya. Lepas dinner, kami pun balik.
Faiq Ceria Main Dengan Atuk
3) Dapat baucer Giant RM500
On the way balik kami singgah di Sg. Petani untuk ambil baucer Giant yang telah diredeem dari bisnes ceramic. Baucer ni telah diredeem sebelum sebelum puasa lagi tapi asyik tangguh je. Lepas raya baru ambil. Bolehlah shopping barang keperluan untuk pindah rumah.
Ini adalah baucer ketiga saya rasa selepas saya join ceramic hampir setahun. Bisnes ni mudah, tapi modal tinggi. Bisnes ni yang memberanikan saya untuk berhenti kerja. Selain income dari bisnes mymode(prepaid), tak ada income lain lagi setakat ni. Yang pastinya projek bisnes akan bertambah.
Dah ambil baucer kami pun terus balik ke rumah dan sampai lebih kurang pukul 12 lebih(bukan tengahari tapi pagi).
Begitulah ceritanya…
17 Oct
Sekarang ni saya berada di Penang berjumpa dengan kawan-kawan lama. Terubat rasanya rindu dengan kawan-kawan ni. Yang penting tengok perangai masing-masing tak berubah. Masih lagi dengan loyar buruk diorang. Hehehe…
Kali ni saya nak cerita sikit pasal 3 jalan yang saya dah cuba untuk keluar dari Perlis(jalan ke Siam tak kira). Jalan-jalannya ialah:
1) jalan melalui highway Arau – Changlun
2) jalan ke Alor Setar melalui Jerlun dan Ayer Hitam
3) jalan melalui Kodiang – Jitra(baru try lalu tadi)
Persoalannya adalah jalan mana yang paling cepat? Inilah yang saya nak cerita. Cerita ini bukanlah rekaan semata-mata tapi telah saya buat sebelum ini(kena dengan blog ini iaitu buat dulu baru cerita). Pembaca diingatkan bahawa post kali ini adalah berdasarkan pengalaman saya dan mungkin tidak sama dengan situasi anda jika anda ikut jalan-jalan ini.
1) Jalan melalui Arau – Changlun
Jalan ni memang best. Highway. Besar dan ada 2 atau 3 traffic light je. Siapa nak bawa laju boleh tapi perlu hati – hati dengan jalan ini kerana:
a) dekat pintu gerbang sempadan antara Perlis – Kedah selalu ada ‘road block’ terutama ke arah Kedah. Jadi pastikan anda tidak membawa barang-barang seludup, tidak bawa orang sehingga melebihi muatan dan pakai tali pinggang keledar. Rasanya dia tak akan tahan kalau memandu laju. Siapa kena tahan atas kesalahan memandu laju boleh komen pada post ni.
b) jaga-jaga dengan lembu terutama pada waktu malam. Kejadian ini berlaku semasa saya melalui jalan ini. Syukur bukan saya yang langgar tapi pernah hampir terlanggar. Kawasan yang biasa ada lembu banyak ada di sekitar depan UniMaP dan juga Politeknik Tunku Syed Sirajuddin.
Jalan ni agak jauh untuk sesiapa yang nak ke selatan kalau kita lihat di peta. Untuk sampai ke Jitra ambil masa sekitar 40 minit juga(dengan cara pemanduan saya yang berhemah).
2) Jalan ke Alor Setar melalui Jerlun dan Ayer Hitam
Jalan ni banyak kereta. Daripada kecil sampailah besar. Lori dan bas suka jalan ni. Saya pun tak tahu kenapa. Kalau siapa yang lalu jalan ni pagi-pagi sebelum pergi kerja mesti jumpa banyak lori. Pada waktu pagi jalan ni agak mencabar sebab kena selalu pecut lori-lori dan kereta-kereta yang lambat. Jalannya kebanyakan 1 lane saja.
Sesiapa yang nak memecut tu perlu pastikan keadaan selamat sebelum memecut. Ingatlah orang tersayang. Dulu saya selalu guna jalan ni pagi-pagi untuk pergi Shahab Perdana(stesen bas Alor Setar). Paling laju pun saya pernah sampai dengan pemanduan berhemah dalam masa 40 minit ke Shahab Perdana.
Kepada sesiapa yang memandu secara tidak berhemah mungkin boleh sampai lebih cepat ataupun tak sampai langsung. Pandai-pandailah adjust kalau nak cepat.
Jalan ni best digunakan pada waktu malam selepas pukul 12. Cuma ada 2 – 3 traffic light. Jalan tak banyak kereta waktu ni. Paling cepat saya pernah sampai kurang dari 30 minit.
3) Jalan melalui Kodiang – Jitra
Dulu pun saya selalu jalan ni untuk pergi ke Alor Setar tapi dulu tak berapa minat sebab masa tu tengah renovation. Sekarang ni dah siap renovation dah. Jalan 2 lane untuk setiap hala. Jalan sedap dan tak banyak kereta. Tapi halangan terlalu banyak.
Jalan ni terlalu banyak traffic light. Saya rasa lebih 10 traffic light kita kena lalu. Daripada pengalaman saya, bila sekali kita kena lampu merah, traffic light yang seterusnya pasti akan merah juga. Terpulanglah pada anda kalau nak langgar lampu merah tu masa tak ada kereta. Kena saman saya tak tanggung.
Kalau nasib baik semua lampu hijau je. Boleh sampai Jitra dalam 20 minit. Kalau dapat lampu merah je, 30 minit pun belum tentu sampai Jitra.
Sekian saja. Laporan saya kali ni. Terima kasih.
16 Oct
Hari ni topik lain sikit saya nak cerita. Saya nak cerita bagaimana saya boleh menjana pendapatan dengan perniagaan mymode. Mymode adalah satu sistem perniagaan berasaskan prepaid handphone. Saya dulu masuk mymode sekadar suka-suka. Tak serius pun untuk menjana pendapatan.
Tapi sebab saya adalah pengguna prepaid, jadi saya guna mymode sekadar untuk mudah top up tanpa perlu cari top up. Ada juga jual pada kawan-kawan sikit-sikit. Tapi dalam mana-mana perniagaan prepaid pun , margin keuntungan tidak tinggi. Kalau takat jual RM300 sebulan(saya andaikan dapat jual sehari RM10), saya rasa cukup untuk belanja makan sehari saja.
Jadi saya lakukan perniagaan prepaid ni secara santai tanpa tekanan. Tapi dalam santai-santai terfikir juga macam mana nak tingkatkan jualan prepaid ni. Tapi tak adalah sampai tertekan memikirkannya. Jadi dalam perniagaan mymode ini mereka berikan pilihan untuk membina network.
Membina network boleh meningkatkan jualan daripada berniaga sorang-sorang. Contohnya di sini jika kita seorang menjual RM100 sebulan dan ada lagi 9 ejen di bawah kita yang menjual RM100 sebulan, bukankah kita dah berjaya mendapatkan jualan sebanyak RM1000 sebulan.
Bukan mudah untuk mendapatkan jualan prepaid RM1000 sebulan. Yang ada kedai lain cerita. Yang tak ada kedai dan melakukan kerja jual prepaid secara part time? Pastinya sukar. Sekarang ni pendapatan saya melalui mymode cukup untuk membayar belanja prepaid saya setiap bulan. Syukur.
Bonus Mymode Untuk Minggu Pertama Bulan 10
Gambar yang saya tunjukkan adalah contoh sms bonus yang saya dapat lepas bangun tidur semalam. Saya andaikan sekiranya saya dapat bonus RM20 seminggu, saya dah dapat RM80 sebulan. Saya cuma guna prepaid tak sampai RM50 sebulan, itupun termasuk belanja prepaid broadband saya.
Keuntungan macam ni pun saya dapat selepas setahun saya join mymode. Istiqamah sungguh. Huhu… Tapi apa nak dirisaukan. Prepaid adalah satu keperluan yang saya guna setiap bulan.
Saya dapat untung macam ni pun selepas aplikasikan teknik pengiklanan PPC melalui Google Adword. Saya tahu teknik ini selepas setahun berada di mymode. Pengiklanan PPC ni memang berkesan berbanding pengiklanan di laman web yang mengenakan bayaran sehingga RM100 seminggu untuk banner yang kecil.
PPC atau Pay Per Click adalah pengiklanan yang hanya mengenakan bayaran sekiranya iklan kita diklik oleh pengguna internet. Setiap klik itu bernilai antara RM0.14-RM0.18. Saya tak pandai nak terangkan lebih detail bagaimana nilai klik tu dikira oleh Google. Saya cuma spend lebih kurang RM10 sebulan untuk pengiklanan PPC ini.
Pengiklanan PPC ini lebih ekonomi berbanding letakkan iklan di laman web tertentu. Saya nak ajar cara nak guna PPC kat sini panjang sangat nak cerita. Tapi saya ada setup autoresponder untuk mengajar downline mymode saya menggunakan PPC ni. Untuk permulaan memang susah nak faham PPC ni walaupun dah baca panduan.
Tapi selagi kita tak amalkan ilmu yang kita ada. Kita takkan tahu masalah yang akan timbul. Dalam buku tidak akan menyatakan semua perkara kepada kita. Tapi pengalaman tu yang akan mengajar kita. Saya suka mencuba. Bagi saya rugi duit tak apa tapi pengalaman tu tak dapat dibayar dengan duit. Rezeki tu hak Tuhan. Saya percaya yang itu saja.
12 Oct
Saya adalah seorang yang tidak suka makan ubat. Abah dan mak saya memberi saya ubat sejak kecil bila sakit. Tapi bila saya darjah 6, saya diajar oleh cikgu supaya jangan makan ubat. Kalau demam, cikgu suruh saya berlari keluarkan peluh. Tapi cikgu tak pernah terangkan pada saya lebih detail kenapa kena keluarkan peluh.
Saya tak tanya sebab saya hormat pada cikgu tu. Atas dasar hormat, apa yang cikgu tu cakap, saya ikut. Memang saya buat kerja tak banyak soal bila saya mula hormat orang. Sampai tingkatan 5, cikgu kimia saya ajar jangan makan ubat. Dia kata badan kita boleh keluarkan antibodi sendiri.
Cikgu kimia saya di tingkatan 5 ni pun orang yang saya hormat. Oleh kerana ajaran dia(tentang ubat) berkaitan dengan cikgu darjah 6 saya, saya teruskan hidup tanpa ubat dari klinik atau doktor(kecuali mak suruh makan, saya makan). Bila dah masuk ke alam universiti, saya diajar oleh GURU saya tak perlu makan ubat.
Pesan beliau jika solat kita betul, penyakit takkan datang pada kita. Setiap peringkat dalam kehidupan saya sama ada di sekolah rendah, sekolah menengah mahupun universiti, saya diajar tak perlu makan ubat. Dengan cara yang sama saya cuba buat pada anak saya.
Tak dinafikan kesihatan anak amat penting pada kita sebagai ibu bapa. Kalau anak sakit ibubapa adalah orang pertama yang merasa risau. Dalam pengalaman saya menjaga anak, pelbagai macam tipu daya yang datang daripada pihak klinikal terutama pihak swasta yang mementingkan keuntungan.
Pengalaman pertama:
Pada minggu pertama anak saya lahir, saya bawa ke salah sebuah klinik swasta di Ipoh untuk memeriksa pernafasan anak saya. Saya pergi selama 2 hari berturut-turut ke klinik tersebut. Kedua-dua hari tersebut anak saya telah disuntik dan disedut. Doktor tak tanya banyak. Dia tanya kami anak sakit apa. Lepas tu kerja dia suntik dan sedut je.
Bila saya dapatkan pendapat dari doktor lain(doktor pakar), dia kata anak tak boleh disuntik pada 2 bulan pertama. Pendapat mak saya pula mengatakan saya dulu masa kecil doktor tak benarkan sedut selalu kerana boleh mengakibatkan brain damage. Semasa kecil dulu saya hanya disedut sekiranya saya tak nak minum susu. Sekiranya saya boleh minum, saya hanya diberi ubat saja.
Kata doktor pakar telah menidakkan tindakan doktor klinik swasta tadi. Kata mak saya pula telah menidakkan juga doktor klinik swasta tadi kerana anak saya tiada masalah untuk minum susu. Kadang-kadang tu saya datang klinik cuba dapatkan nasihat tapi doktor teruskan berikan rawatan tanpa khidmat nasihat.
Pengalaman kedua:
Anak saya telah dimasukkan wad pada bulan puasa lepas kerana masalah pernafasan dan batuk. Dalam wad tersebut, saya dapati anak saya telah disedut 1 hari 3 kali oleh pihak hospital(hospital swasta di Kedah pula kali ni). Teringatkan kata mak saya, saya buat keputusan untuk mengeluarkan anak saya daripada wad tersebut.
Kesian tengok anak menangis kena sedut. Nampak kesakitan pada anak sebab kena sedut tu. Satu malam je anak saya berada di wad. Esoknya saya minta dia dikeluarkan dan saya minta untuk menjaganya sendiri. Saya telah diminta menandatangani surat yang mengatakan saya akan bertanggungjawab terhadap kesihatan anak saya sebelum balik.
Saya tak kisah. Saya sign je. Kalau tambah sehari lagi doktor nak masukkan cucuk air ke dalam badan dia. Yang tu saya lagi tak minat. Anak saya dah lah aktif. Kalau kena cucuk, susahlah dia nak bergerak.
Saya bawa balik anak saya ke rumah lepas tu. Ubat yang doktor bagi dari hospital tadi, satu pun saya tak bagi anak saya makan. Apa yang saya buat adalah:
1) suruh isteri saya bagi susu ibu pada anak saya dengan lebih kerap.
2) letakkan ‘air purifier’ dalam bilik.
3) bagi dia minum air yang telah di’purify’ oleh water filter.
4) agel iaitu satu bentuk makanan kesihatan dalam bentuk gel.
Syukur kepada Allah anak saya telah sembuh perlahan-lahan dalam masa kurang daripada seminggu. Cabaran yang terpaksa kita hadapi semasa anak nak sembuh ni ialah:
1) mungkin kita akan sukar untuk tidur malam sebab anak akan sering bangun kerana rasa tidak selesa bernafas. tapi takpe. sekiranya kita dapati pernafasan anak makin lancar, maksudnya itu petanda baik.
2) anak lebih meragam pada waktu macam ni. takpe. biasalah. anak tak selesa dengan keadaan kesihatannya.
3) anak suka berkepit dengan kita. takpe juga. dukung saja dia jika itu yang dia perlukan. sebab dia tidak tenang dalam keadaan tidak selesa itu. jadi dengan mendukung dia akan menjadikan dia lebih tenang.
Mungkin tak ramai yang sanggup buat macam 3 perkara di atas sebab perlu kerja keesokan harinya. Tapi bersabarlah. Menenangkan anak dengan kasih sayang lebih baik daripada daripada memberinya ubat. Mengikut kajian saya, cara kita berfikir adalah berkait rapat dengan kesihatan.
Jika kita fikir kita sakit, kita akan terus sakit. Jika kita fikir kita sihat, kita akan sihat(dengan izin Allah). Secara saintifiknya tak dapat saya katakan macam mana. Tapi apa yang saya boleh fahamkan ialah semasa kita berfikir, hormon akan dikeluarkan dan bertindak balas dengan badan.
Jadi jika berfikir tentang kesakitan, hormon yang keluar mungkin akan menyebabkan kesakitan tu akan terus rasa sakit. Dalam sejarah nabi-nabi juga ada disebutkan mereka redha dengan penyakit yang datang kerana ianya datang dari Allah. Dengan berfikiran meredhakan ianya sedikit sebanyak mengurangkan kesakitan.
Walaupun ianya tidaklah terus baik tapi ia perlukan masa untuk sembuh. Pengalaman biras saya di UK telah mengajar saya juga. Di mana bila dia berjumpa doktor di sana kerana anaknya sakit, doktor kata sakitnya itu biasa saja. Tak perlu makan ubat. Sekiranya sakit anak dia tidak baik dalam seminggu, baru jumpa dia semula dan dia akan berikan ubat.
Begitulah khidmat nasihat yang saya perlukan dan saya rasa semua orang pun perlukan juga. Bukan ubat ataupun rawatan untuk terus baik. Sebab yang lain saya menolak ubat sebagai rawatan terbaik:
1) kebanyakan ubat yang kita makan hanya digunakan sebanyak 30% saja. yang lain akan dibuang melalui najis. (melalui bacaan artikel-artikel kesihatan antarabangsa)
2) ada sekali saya nak ambil ubat di sebuah hospital, dalam resit tersebut ada tertulis “Please take your drugs at the counter”. bukannya suruh saya ambil ubat tapi suruh saya ambil dadah.
3) ubat farmaseutikal yang disarankan oleh pakar mempunyai kepentingan tertentu. contohnya komisen setiap jualan daripada ubat tersebut akan diberikan kepada pakar tersebut. (saya tahu perkara ni selepas tengok cerita CSI)
4) pengalaman saya menggunakan ubat menunjukkan setiap kali makan ubat saya akan merasa mengantuk dan perlukan saya untuk tidur. saya cuba kaedah yang sama iaitu apabila sakit, saya cuba tidur dan rehat sebaik mungkin tanpa ubat. selepas bangun, sembuh juga sakit. jadi tidur adalah salah satu cara untuk kita tidak fikirkan yang kita sedang sakit.
Tak ada lagi sebab lain setakat ni. Kalau ada saya tambah lagi kemudian. Ini mungkin artikel saya yang terpanjang tahun ni. Baru-baru ni anak saya batuk dan saya cuba rawat dengan meletakkan spirulina ke dalam susu(atas beberapa nasihat daripada kawan). Walaupun tidak sembuh sepenuhnya tapi saya nampak perubahan yang baik.
Walau apa pun tindakan saya, saya percaya segalanya berlaku dengan izin Allah. Sekiranya dia yang memberi penyakit, jadi kita harus percaya dia juga yang akan menyembuhkan penyakit tersebut. Yang penting usaha tu kena ada. Sekianlah saja celoteh panjang saya kali ni.
Saya ada beberapa cara lagi rawatan alternatif yang saya tahu tapi belum dipraktikkan sepenuhnya oleh saya. Siapa nak cuba rawatan dari saya, saya jemput datang ke rumah saya di Kangar. Wassalam.
12 Oct
Hujung minggu dah menjadi perkara biasa saya di rumah mengemas rumah. Kalau tak ada di rumah macam mana nak kemas rumah ye tak? Mengemas rumah hujung minggu dah jadi perkara wajib pada saya dan keluarga. Kalau tak kemas nanti, rumah ni akan nampak macam tongkang pecah. Siapa yang dah datang rumah tahulah keadaan rumah saya macam mana.
Tak perlu saya letakkan gambar di sini. Saya dah check dalam photo album tadi tapi tak ada gambar yang sesuai untuk menggambarkan keadaan rumah saya ni. Lagipun kami akan berpindah dalam sebulan atau 2 bulan lagi sebab baru beli rumah baru. Jadi tunggu rumah barulah baru saya tangkap gambar. Itu pun selepas rumah baru tu habis kemas.
Rumah saya sekarang ni memang kena kemas tiap-tiap minggu. Antara sebab-sebabnya:
1) habuk banyak
2) sawang banyak
3) Faiq suka sepahkan barang
Sebab (1) dan (2) senang je nak selesaikan. Sebab sekali kita dah bersihkan habuk dan sawang tu, dia akan ambil masa untuk datang balik. Tapi berlainan dengan sebab (3). Bila kita kemas, Faiq keluarkan balik. Kemas lagi, Faiq keluarkan balik. Macam tak berkesudahan.
Jadi saya buat cara sendiri. Biarkan rumah bersepah selama seminggu. Yang bersepah tu semua hasil dari mainan Faiq. Memang saya biarkan bersepah je. Sebab esok dia boleh main mainan yang sama di tempat yang sama. Kecuali kalau ada orang nak datang, saya akan kemas. Jadi rajin-rajinlah datang ke rumah supaya lebih rajin lagi saya mengemas rumah.
Bila sampai hujung minggu saja, saya akan pulun bagi kemas satu rumah. Sekemas-kemasnya. Biasanya tak lama gak. Petang tu Faiq dah mula balik projek dia. Biarlah. Yang penting pagi sampai petang tu saya nampak rumah saya kemas sekali dalam seminggu cukuplah. Siapa yang ada anak kecil-kecil, bersedialah bila anak dah mencapai umur 8 bulan ke atas.
Lepas habis kemas, kami pergi kenduri di rumah Mak Andak kawan kami dengan panggilan glamour Ejay. Di sana sempat juga bersembang dengan kakak Ejay yang baru melahirkan anak. Syukur anak dan ibunya sihat saja. Oleh kerana kami tiada di rumah petang semalam, Faiq tak dapat mengemas rumah.
Kami balik rumah pun dah lewat petang, waktu tu Faiq pun dah letih. Saya mandikan dia. Lepas dia minum terus tidur. Jadi kekemasan rumah kami masih lagi terpelihara buat sementara waktu. Tunggu je lah dia bangun tidur nanti. Macam-macam yang akan Faiq buat. Semua sudut dalam rumah ni dia explore.
Selalu saya biarkan saja. Saja nak biarkan budak belajar sendiri. Kita nak ajar dia tak nak. Dia lebih suka belajar sendiri. Macam abahnya kot. Hehehe… Saya sambung lagi kemudian.
11 Oct
Saya baru balik dari bermain bowling di Jitra Mall. Oleh kerana di Perlis tak ada tempat bermain bowling, paling dekat pun kena pergi Jitra. Walaupun jadual siang tadi agak sibuk dengan seminar, tapi sebab dah janji nak main, kena pergi juga. Saya ada plan dengan sahabat-sahabat saya, Bahij dan Hasri.
Bila saya sebut pada isteri saya plan nak pergi main bowling, isteri saya pun macam berminat nak join. Jadi tak ada masalah sangat. Tak adalah saya rasa bersalah kalau isteri saya nak ikut. Kalau saya tinggalkan isteri dan anak saya di rumah sebab pergi main bowling, saya ada rasa bersalah sikit.
Sebab main bowling bukanlah satu tanggungjawab pada saya. Ianya sekadar satu riadah yang saya harap melegakan sedikit ketegangan akibat kerja dan lain-lain. Tapi itu cerita lain. Dah setahun tak main. Apa salahnya sekali-sekala main.
Keputusan Game Pertama
Saya bermula dengan main teknik spin saya. 5 frame yang pertama tak ada satu pun strike mahupun spare. Lepas tu saya cuba main straight ball je. Dapat juga saya memenangi Bahij dan Hasri pada frame-frame terakhir. Isteri saya juga kalah. Hehehe… Marah lak dia nanti.
Yang kesiannya bila kitorang main bowling ialah anak saya, Faiq yang kena ikut sekali main. Main pukul 10 malam pula tu. Sepatutnya waktu ni dia patut tidur dah. Tapi ummi dan abah dia bawa dia main bowling pula. Tak patut. Hehehe… Tapi Faiq tak meragam sangat. Dia cuma nampak hairan kot sebab bunyi dentum dentam orang main bowling.
Pada game kedua saya dikalahkan oleh Bahij dan Hasri pada frame-frame terakhir. Gambar saya tak sempat ambil sebab kalut nak balik. Faiq dah mula meragam waktu ni sebab dah mengantuk sangat. Kesian. Sekali-sekala tak apa ya Faiq.
Pemain-pemain Bowling Yang Terlibat(Abaikan Faiq)
Komen Terkini